Jenazah dimandikan malaikat? Jika dijadikan tajuk majalah, pasti laris di pasaran. Hakikatnya, kisah itu benar-benar berlaku. Baru sahaja mengecapi malam pertama tanpa sempat mandi wajib, sahabat Rasulullah saw ini meluru ke medan jihad lalu gugur syahid. Diuruskan oleh para Malaikat Allah, jasadnya ditemui dalam keadaan basah. Allahuakbar! Betapa agung cinta HANDZALAH pada Pencipta dan Rasul-Nya. Betapa hebat pengorbanan si isteri melepaskan suami ketika ‘inai masih merah di jari’.
Berkali-kali mendengar kisah tentang pejuang hebat ini sehinggalah disahkan mengandung kali ke-4. Maka sibuklah kami si ibu dan ayah mencari nama yang indah. Terinspirasi dari kisahnya, kami ingin bayi ini meraih kejayaan dunia akhirat dengan meneladani keperibadiannya. Lalu nama FALAH HANDZALAH dipilih dan ‘dipanggil’. Ia panggilan seawal kandungan 2 bulan tanpa mengetahui jantinanya lelaki atau perempuan!
Di hening pagi 24 Februari 2012, Allah memustajabkan doa. Khalifah soleh yang dinantikan akhirnya muncul ke dunia. Subhanallah walhamdulillah! Bergenang air mata ketika menatap redup dan suci wajah mulusnya. Hilang segala kesakitan yang ditanggung lama. Sungguh, umi jatuh cinta padamu pandang pertama!
Kini si lincah ini menghampiri usia 3 tahun. Sememangnya misi meng’HANDZALAH’kannya semakin mencabar. Belum mahu bercerai susu. Semuanya ingin dilakukan sendiri. "Hayya 'alal Falahhh". Tersengeh-sengeh mendengar 'nama'nya dipanggil setiap kali berkumandangnya azan. Keletah dan petah tuturnya sering menjadi hiburan yang mengasyikkan. Terasa sejuknya rahim saat mendengar zikrullah dari lidahnya yang pelat dan melihat si kecil ini bersolat.
Moga terus dipinjamkan Allah masa dan tenaga mempersiapkannya menjadi imam pilihan. Layak mengurus dan mengepalai solat jenazahku usai dikafan lalu mengusung kerandaku ke perkuburan. Moga kesolehannya menghadiahkan syafaat berterusan buatku hingga ke Hari Pengadilan.
Moga cinta agung kita sekeluarga kekal ke syurga idaman.
__________________________
Menyertai Pertandingan Pengisytiharan Cinta anjuran Bonda Nor sempena pelancaran buku Sahaja Aku Jatuh Cinta secara suka-suka. Tak mengapa jika tak menang apa-apa. Yang penting, moga ada sedikit manfaat kepada semua yang membaca. - ditulis pada ...
Dikongsi semula di Fb pada 24 feb 2015 sempena Hari Jadi si cilik Falah.
Terkini: Alhamdulillah esei ini berjaya masuk dalam senarai pemenang :)
No comments:
Post a Comment